Thursday, May 14, 2009

Kebangkitan Generasi Ulul Albab Membangun Bangsa


الحمد لله رب العالمين رب السماوات و الأرض و ما فيهن القائل في محكمه التنزيل

أولم يتفكروا في أنفسهم ما خلق الله السماوات والأرض وما بينهما إلا بالحق وأجل مسمى وإن كثيرا من الناس بلقاء ربهم لكافرون

وأفضل الصلاة و أتم التسليم على حبيب المصطفى الذى أرسله الله رحمة للعالمين خاتم الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه اجمعين

فيا عباد الله اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجاهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

Marilah kita pada hari ini memperteguh kembali iltizam kita terhadap iman dan taqwa, kerana hanyasanya iman dan taqwa penyelamat kita dari malapetaka bangsa dan agama. Apa jua permasalahan yang tidak berlandaskan keduanya hanyalah retorik belaka, kerana acuan pemikiran al-Quran tidak sekali-kali bertujuan merosakkan kewujudan kita malahan mengangkat misi khalifatan fi ardhi sebagai anak bangsa yang hadir memberi rahmat alam semesta. Maka khutbah hari ini mengajak kita bersama menilai kembali akar persoalan dari perspektif Qurani agar kekal kita dalam tunjuk ajarnya yang benar.

Para jemaah yang dikasihi Allah,

Peringatan Allah tentang hakikat kewujudan manusia disebut berulang kali sebagai peringatan yang tak putus-putus bagi mereka yang mahu memperhatikannya. Namun sayang sekali bagi mereka yang mengaji dan mengkaji, adab yang pertama sekali bagi mengecapi hidayah al-Quran adalah dengan iman dan taqwa. Ini berdasarkan firman Allah

الم ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين

“Alif Lam Mim. Itulah Kitab yang tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang yang bertaqwa.”

Hinggalah seterusnya, Allah memperincikan faham taqwa itu sebagai satu produk atau hasilan orang-orang yang beriman. Prof. Hidayat Nataatmadja dalam bukunya Kebangkitan Islam, beliau menghuraikan persoalan kajian al-Quran dengan menyatakan bahawa bukanlah kecerdasan itu yang menjadi syarat mutlak untuk mengenal al-Quran, melainkan ketaqwaan seseorang. Oleh sebab itu adalah mustahil bagi pengkaji al-Quran di kalangan Orientalis mengerti hakikat ajaran islam, meskipun mereka pandai menggunakan lagika akal untuk menganalisa al-Quran, lalu pengenalan mereka tentang al-Quran itu terbatas dengan kedhaifan akal mereka sendiri. Daripada kalam Allah “Alim Lam Mim” sahaja, mesej al-Quran membawa dimensi kerancuan akal, iaitu sebahagian rahsia Allah itu dibiarkan tertutup daripada akal manusia supaya membangkitkan semangat iman kepada Allah pemilik Ilmu segala yang ghaib dan yang nyata.

Sebab itu dalam kriteria intelektual ulul albab acuan al-Quran, sikap ilmuwan Islam yang sebenarnya ialah seorang yang berfikir dan juga berzikir. Atau lebih perinci dari kata-kata as-Sya’bi dalam karya al-‘Aqlu wa Fadhluhu, beliau menyebut:

“Sesungguhnya ilmu itu sama sekali tidak akan bermanfaat, kecuali apabila orang-orang yang mempelajarinya memiliki dua karakter, iaitu berakal (genius) dan ahli ibadah. Apabila hanya berakal sahaja, tetapi tidak ahli ibadah, atau ahli ibadah tetapi tidak berakal, maka ilmu itu tidak akan bermanfaat sedikitpun.”

Sidang Jumaat Yang berbahagia,

أولم يتفكروا في أنفسهم ما خلق الله السماوات والأرض وما بينهما إلا بالحق وأجل مسمى وإن كثيرا من الناس بلقاء ربهم لكافرون

“Apakah mata dan hati mereka telah dilemahkan sehingga mereka tidak dapat berfikir tentang diri mereka untuk mengetahui kesudahan mereka? Allah tidak akan menciptakan langit dan bumi serta yang lainnya kecuali dengan sungguh-sungguh dan untuk jangka waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya kebanyakan manusia itu membangkang dalam hal pertemuannya dengan Allah dan datangnya hari kiamat”

Peringatan pertama Allah tentang orang yang memiliki akal yang berfikir agar melihat jauh ke hadapan tentang peranan ilmu itu dari sudut mengenal hakikat kehidupan serta tujuan pertanggungjawaban demi kemaslahatan. Inilah yang membezakan ilmuwan Kafir dengan Islam.

أولم يسيروا في الارض فينظروا كيف كان عاقبة الذين من قبلهم كانوا أشد منهم قوة وأثاروا الأرض وعمروها أكثر مما عمروها وجاءتهم رسلهم بالبينات فما كان الله ليظلمهم ولكن كلنوا أنفسهم يظلمون

“Apakah mereka menetap di negeri mereka dan tidak berjalan di muka bumi untuk menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang yang kafir sebelum mereka? Orang-orang kafir yang ada sebelum mereka itu lebih kuat dari mereka. Mereka telah mengolah bumi untuk mengeluarkan air, barang tambang dan hasil pertanian yang ada di dalamnya, juga telah membangunkan bumi lebih baik daripada yang dilakukan oleh orang-orang kafir yang ada sekarang. Dan rasul-rasul Allah telah datang dengan membawa berbagai mukjizat yang jelas kepada mereka lalu mereka mengingkarinya. Maka Allah menimpakan siksa kepada mereka, kerana Dia tidak akan memberikan balasan kepada mereka tanpa adanya dosa yang telah mereka lakukan, atau sebelum memberikan peringatan dan waktu kepada mereka mereka. Sesungguhnya merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.”

Al-Quran mengajak kita menilai lagi melalui pengkajian sejarah bahawa berapa banyak umat bangsa yang dimusnahkan oleh Allah SWT.

فكلا أخذنا بذنبه فمنهم من أرسلنا عليه حاصبا ومنهم من أخذته الصيحة ومنهم من خسفنا به الارض ومنهم من اغرقنا وما كان الله ليظلمهم ولكن كانوا انفسهم يظلمون

“Maka tiap-tiap mereka itu Kami siksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara yang keras mengguruh, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”

Berulang-ulang kali Allah menyebut tentang perkara ini. Sama ada kekuatan dan kegagahan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal unggul dan kekal. Bagi Allah terlalu mudah untuk membinasakannya apabila Ia menghendakiNya. Malah terlalu remeh di mata dunia yang tidak pula merasa kehilangan dengan ketiadaan mereka. Hancurnya kaum ’Ad dan Thamud, karamnya Firaun dan Haman, tenggelamnya Qarun ditelan bumi tidak pernah ditangisi sebagai suatu tragedi sejarah manusia. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Dunia tidak pernah merasa kerugian sama sekali. Setiap yang pergi akan segera ada pengganti yang lebih berkualiti.

ثم كان عاقبة الذين أساؤوا السوأى أن كذبوا بئايات الله وكانوا بها يستهزءون

“Kemudian kesudahan orang-orang yang melakukan bermacam-macam kejahatan adalah sikap kufur dan memperolok-olok terhadap ayat-ayat Allah”

Hasil daripada orang-orang ilmuwan songsang yang apabila telah mengkaji pesan-pesan keTuhanan ini, mereka malah mendustakannya malah mempersendakannya.

Sidang Jumaat Sekalian,

Amalan kita umat Islam dalam soal ilmu zaman moden ini berkait rapat dengan cara umat islam berfikir. Sepertimana disebut oleh Dr. Majid Irsan Kaylani dalam bukunya Kebangkitan Generasi Salahuddin, bahawa “setiap masyarakat itu terdiri daripada tiga komponen utama iaitu: ideologi, manusia dan benda. Ketiga-tiga komponen ini saling berkaitan antara satu sama lain.

Masyarakat berada dalam keadaan yang terbaik apabila “manusia” dan “benda” didasarkan kepada “ideologi”, di mana dalam konteks Islam ialah ajaran Islam itu sendiri. Tanda-tanda masyarakat yang berpegang dengan ideologi ini ialah apabila pusat kepimpinan dipegang oleh orang yang benar-benar memahami fiqh atau ilmu dalam segala cabaran dan pengambilan keputusan; pemikiran yang bersifat luas dan mendalam, perhatian individu dan masyarakat akan berpusat kepada masalah-masalah yang lebih umum dan besar, yang melibatkan cabaran sama ada dari luar mahupun dari dalam, dan fokus kepada menggerakkan kekuatan.

Akan tetapi apabila manusia menjadi asas kepada ideologi dan benda, maka karakter yang paling menonjol dalam masyarakat ialah berkuasanya para petualang kehormatan, wibawa dan pemilk kekuatan; mereka akan memperbudakkan “ideologi dan benda” demi kemaslahatan peribadi, keluarga, kelompok atau parti mereka. Pemikiran mereka hanya bertumpu pada sekitar keluarga, kelompok tertentu, kaum, parti dan daerah. Pemikiran ini bersifat dangkal dan tertutup bagi pemikiran yang lain.

Kemudiannya apabila kesetiaan kepada “benda” pula menjadi asas kepada “ideologi dan manusia”, maka kekuasaan dalam masyarakat akan berada pada tangan-tangan para pemilik modal dan petualang nafsu. Budaya hidup mewah dan konsumerisme menjadi ciri utama dalam masyarakat. Jaring-jaring hubungan sosial menjadi sebahagian barang dagangan, dan bahan konsumer yang menghiasi papan nama, gimik perniagaan, salon kecantikan dan nama-nama jalan. Pemikiran dan pemahaman menjadi lumpuh. Manusia menjadi sibuk dengan mencari benda duniawi untuk keperluan sehari-har; mereka telah kembali seperti yang yang diriwayatkan oleh sejarawan Abu Syamah – menjadi jahiliah yang perhatian merekatidak lebih daripada perut dan kemaluannya sahaja; tidak mengetahui perbuatan ma’ruf dan juga tidak mengingkari kemungkaran.

Pada saat itu, meskipun masyarakat masih menghembuskan nafas, tetapi mereka telah mati. Kelompok manusia yang lain mengumumkan berita kematian dan mengadakan upacara pemakaman. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW sangat khuatir umat islam terjebak dalam perjalan seperti ini, lalu baginda bersabda:

“Demi Allah, tidaklah kemiskinan yang saya khuatirkan menimpa kamu sekalian, akan tetapi saya sangat khuatir jika dunia dilapangkan bagi kamu sebagaimana telah dilapangkan bagi orang-orang sebelum kamu, lantas kamu saling berlumba seperti yang telah mereka lakukan, kemudian dunia itu akan membinasakan kalian sebagaimana ia telah membinasakan mereka.”

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,

Lalu segeralah kita bermusahabah dan bertaubat kembali ke akar pemikiran al-Quran, adalah selayaknya kita dikekalkan terus sebagai bangsa yang berkualiti dari pandangan Allah. Atau selayaknya kita ini diganti dengan satu generasi baru yang lebih baik. Masa telah diberikan, risalah telah disampaikan, namun perjuangan masih belum kesudahan.

فأما الزبد فيذهب جفاء وأما ما ينفع الناس فيمكث في الأرض كذالك يضرب الله الأمثال
“Adapun buih-buih itu, ianya akan hilang sebagai bahan yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.”

Seperti kalam Dato’ Dr. Siddiq Fadzil di dalam Siri Wacana Tematik-nya, kalimat al-zabad (buih) itu adalah simbol bangsa tanpa kualiti, tanpa substance, tanpa isi. Yang ada hanya gelembong kosong yang serba rapuh, bila-bila boleh pecah dan menghilang dari dunia. Apalah yangboleh disumbangkan oleh buih, berapakah harganya walau segunung buih. Maka untuk terus hadir di pentas dunia, sesuatu bangsa harus mampu menyumbang, harus mempunyai mesej dan misi, idealisme dan iltizam. Tetapi bangsa buih yang jiwa dan mindanya kosong melompong, hilang arah dan tujuan, hanyut dilambuk ombak, tidak akan punya masa depan selain hilang di dunia ini.

الله يبدؤا الخلق ثم يعيده تم إليه ترجعون

“Allah menciptakan menusia sejak permulaan, kemudian mengembalikan penciptaan itu setelah mereka mati, lalu hanya kepadaNya lah mereka kembali untuk dihitung dan diberi balasan.”

2 comments:

MI Syakir Ishak said...

Salam Akhi Zayd,

Kebetulan ABIM Johor telah menjalankan Kajian Sosial dan Persekitaran di Plaza Kotaraya JB. Hasil survey mendapati bahawa latarbelakang pendidikan mempengaruhi tahap kesedaran belia terhadap gejala sosial. Walaubagaimanapun, dari aspek komitmen mereka untuk memperbaiki diri itu memang nyata keserlahannya. 60% mempertingkatkan pengetahuan dengan membaca bahan bacaan yang berfaedah, 30% menghadiri majlis agama. Hanya 16% sahaja yang menyertai pertubuhan belia dan selebihnya melakukan lain-lain aktiviti berfaedah. Walaubagaimanapun cara hidup mereka yang mengabaikan solat (>50% tidak solat lima waktu sempurna) menyebabkan jatidiri belia sangat rapuh dan mudah terpengaruh dengan persekitaran yang negatif.

TN said...

anda memposting sebuah tulisan mengenai hidayat nataatmadja di blog anda. silakan kunjungi halaman Jurnal Hidayat Nataatmadja untuk menyimak pandangan dan karya tentang Hidayat Nataatmadja. salam.