Dimensi tarbiyah Islamiyyah buat ahli gerakan perlu memperjuang kembali gagasan yang membentuk dinamisme insan model Ibadur Rahman.Kesyumulan dalam tarbiyah ini terangkum dalam kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagai berikut, “Seperti dalam aqidah, maka dalam ibadah juga tergambar erti kesejagatan. Ibadat Islam merangkumi seluruh kejadian manusia. Seorang muslim beribadat kepada Allah bukan dengan lisannya saja, atau badannya saja, atau hatinya tanpa lainnya, atau fikirannya semata-mata, atau panca-inderanya sendirian, tetapi ia beribadat kepada Allah dengan keseluruhannya, iaitu dengan lisan yang berzikir, berdoa dan membaca, dengan badan yang sembahyang, puasa dan berjihad, dengan hati yang takut, mengharap, cinta dan tawakkal, dengan seluruh panca indera yang digunakan mentaati Allah SWT.
Justeru mari kita memperkukuhkan kembali model tarbiyah syumuliyah berteraskan ilmu, iman dan amal melalui pembudayaan asasi gerakan kita yang tercinta ini. Tarbiyah Nafsiyah harus mengambil peranan berat dalam setiap ahli gerakan agar hati-hati yang kita bentuk dapat disatukan dalam rangka kompleksiti ragam sebuah gerakan jamaah. Maka model tarbiyah yang kita titipkan mestilah dilihat dengan kantanya yang begini, “Pertarbiyahan diri secara menyeluruh merupakan satu amanah yang menyempurnakan peribadatan kepada Tuhannya di samping tugas sebuah gerakan sebagai yaduLlah, tempat berhimpunnya hati-hati yang bersatu, memperkukuhkan satu dengan yang lain, dalam wadah yang dinaungi pemeliharaan Allah SWT.”
Kita pertegaskan tarbiyah kita adalah tarbiyah berkonsepkan Nabawiyah, di mana sahaja al-Rasul SAW meletakkan para sahabatnya RA berseorangan atau berpasangan, di situlah Nur Islam bersinar terang mentari, buminya subur umpama selepas hujan yang lebat, dilontar ke tanah menjadi bukit, ke laut menjadi pulau. Nilainya seribu umat atau lebih lagi. Mereka ini yang disebut oleh Said Hawwa RA sebagai JunduLlah, thaqafatan wa akhlaqan. Maka inilah produk dari pentarbiyahan yang kita perjuangkan selama ini.